Jumaat, 4 Jun 2010

JELAJAH CENDAWAN SEMPENA CUTI SEKOLAH

Sempena cuti sekolah yang bakal tiba, satu jelajah yang saya namakan Jelajah Cendawan akan melintasi kawasan anda. Jelajah ini hanya disertai oleh kami sekeluarga sebagai program santai sambil membawa anak-anak berjalan-jalan. Jelajah akan dimulakan di sekitar Lembah Kelang, Temerloh, Maran, Kuantan dan berakhir di Terengganu.

Tujuan jelajah ini diilhamkan kerana kami mahu menimba seberapa banyak ilmu mengenai tanaman cendawan ini. Maklumlah, lain padang lain belalang. Selain itu kami boleh berkongsi maklumat, teknik dan teknologi terbaru dalam bidang tanaman cendawan ini.

Bagi sahabat dan rakan-rakan pengusaha cendawan, nantikan kedatangan kami. Kami akan membuat temujanji terlebih dahulu dengan pengusaha sebelum datang ke tempat mereka. Bagi sesiapa yang mahu rombongan ini datang ke tempat mereka, sila hubungi saya supaya saya dapat menyusun jadual perjalanan kami.

Khamis, 3 Jun 2010

MAJU SETAPAK


MFA Agro Enterprise telah membuka langkah baru bagi mengembangkan perniagaan dengan tanaman cendawan Ganoderma Lucidum (lingzhi). Cendawan ini yang dikenali sebagai ''king of herbs'' oleh masyarakat di negara China telah lama menapak di negara ini. Dalam perubatan tradisional masyarakat cina, kandungan khasiatnya telah terbukti secara saintifik di mana bahan antioksidan yang tinggi dapat menjana tenaga pada tubuh, menghalang pertumbuhan sel kanser, mengawal tekanan darah serta kandungan gula dalam darah (bagi pesakit darah tinggi dan diabetis) serta dapat memulih dan memelihara sistem hati dan macam macam lagi.

Kami sedang dalam perancangan untuk menghasilkan beberapa produk dari dari cendawan ini. Antaranya Dried Gano, Kapsul, Kopi dan beberapa jenis lagi Insya Allah. Saya harap keluarga dan rakan-rakan dapat mendoakan agar perancangan ini dapat kita laksanakan kelak. Sokongan anda amat saya hargai.

Rabu, 2 Jun 2010

GAMBAR KENANG-KENANGAN LAWATAN PELAJAR DAN GURU SMT PERTANIAN CHENOR



LUAHAN HATI SEORANG RAKAN SEPERJUANGAN

Saya ada terbaca catatan blog Kuantan Agro Enterprise yang meluahkan rasa sedih, marah, geram dan meluat terhadap sebuah syarikat pembekal substrat dan cendawan yang terkemuka di Malaysia.

Kalau sebelum ini saya pernah menegur beberapa 'pengusaha baru' yang tidak mengamalkan amalan penjagaan dan pengurusan rumah cendawan dengan baik selepas membeli substrat dari pembekal, tapi dalam kes ini ia amat bebeza sekali.

En. Arish merupakan seorang pengusaha tanaman cendawan berpengalaman. Beliau mendapatkan bekalan sustrat bertahun-tahun dari beberapa orang pembekal. Namun apa yang berlaku sangat menyedihkan tatkala permintaan bagi cendawan mentah yang meningkat ditambah pula dengan kekurangan stok atau bekalan akibat cuaca panas yang melanda pantai timur. Saya menyelar tindakan pembekal terbabit dan berharap dapat menyelesaikan masalah dengan pelanggan anda ini because he was not your first time customer.

Ikuti kisah En. Arish. Klik pada link Kuantan Agro Enterprise sebagai renungan dan pengajaran buat kita semua.

Pada rakan-rakan yang mempunyai lebihan stok cendawan segar, silalah berhubung dengan beliau kerana di kala ini beliau amat memerlukan stok cendawan bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya. Insya Allah kalau saya ada stok, saya akan hubungi anda.

Buat En. Arish, kuatkan semangat. Hidup ini kalau tak diuji oleh Allah, maknanya Allah sudah lupakan kita. Jadikan ujian ini sebagai satu titik tolak kepada kejayaan yang lebih besar nanti dan menjadikan kita manusia yang sentiasa bersyukur sama ada dirahmati mahupun diberikan ujian. All d best and good luck.

Selasa, 1 Jun 2010

LAWATAN PELAJAR DAN GURU

Pada petang 30/4/2010 saya menerima panggilan daripada Ketua Kampung Huma Luas memberitahu bahawa sekumpulan pelajar dan guru seramai 60 orang dari Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor, akan melawat PPC pada 1/5/2010. Saya juga diminta pihak berkenaan agar dapat memberikan taklimat secara teori dan praktikal kepada kumpulan pelajar terbabit. Bagi tidak menghampakan mereka saya bergegas dari Kuala Lumpur - Kg. Awah pada malam itu juga. Ini merupakan rombongan sekolah yang ke-2 selepas lawatan dari Sekolah Menengah Teknik Pertanian Muar, Johor tahun lalu.


Tepat Jam 9 pagi 1/5/2010, sepertimana yang telah dijanjikan saya bersama-sama isteri dan anak lelaki saya tiba di PPC. Kehadiran saya disambut oleh Pak Awi (Ketua Kampung), beberapa AJK Pengelola Program dan tenaga pengajar sekolah terbabit. Tanpa membuang masa, taklimat pun bermula selama 3 jam. Dengan masa yang amat terhad, segala ilmu yang ada dicurahkan kepada kumpulan generasi muda ini bermula dari mengenali apa itu cendawan, penyediaan bahan, proses pembancuhan, pembungkusan substrat, pengukusan, proses suntikan benih, pemeraman, mengeluarkan hasil, pembungkusan dan labeling. Mereka juga didedahkan dengan latihan amali bagi setiap proses yang diterangkan.

Setiap pelajar yang hadir menunjukkan minat dan tumpuan terhadap apa yang telah diterangkan kepada mereka. Mereka juga banyak bertanyakan soalan untuk menajamkan pemahaman mereka dalam ilmu penghasilan cendawan tiram kelabu ini.

Apa yang istimewanya mereka ini telah didedahkan dengan tips dan rahsia bagaimana untuk menghasilkan cendawan yang lumayan. Tips dan rahsia ini jarang didedahkan kepada sesiapa tetapi saya curahkan kepada mereka dengan ikhlas agar ia dapat digunakan bila pulang ke sekolah nanti apabila saya dimaklumkan bahawa mereka ada menghasilkan sendiri cendawan di sekolah mereka.

Saya berharap agar segala ilmu yang dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar-pelajar ini walaupun dalam masa yang terhad.

Segala yang baik datang dari Allah dan segala kesilapan datang dari kelemahan saya sendiri.

Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan majlis ilmu pada hari tersebut. ini menunjukkan bahawa PPC sudah mula menerima maklum balas positif dari semua pihak. Ini dapat mempromosikan PPC pada masyarakat luar mengenai perniagaan yang kami usahakan. Jasa tuan/puan tak terbalas. Jazakallahu Khoiron Kathiro.

Pada mana-mana pihak yang ingin mengadakan lawatan ke PPC sama ada secara individu ataupun berkumpulan, hendaklah , memaklumkan pada saya di talian 019-3218382 atau e-mailkan ke ijal_mfa@yahoo.com.